Saturday, 3 September 2016

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

Menurut Butler (1980), pembangunan sesuatu destinasi pelancongan adalah melalui suatu proses evolusi melainkan destinasi yang dirancang. Umumnya, pembangunan sesuatu destinasi pelancongan melalui empat tahap iaitu tahap penerokaan, penglibatan, pembangunan, dan tepu. Pada tahap penerokaan alam sekitar yang cantik akan menarik sebilangan kecil pelancong yang mengatur sendiri lawatan mereka. Kegiatan mereka tidak mengikut mana-mana pola yang wujud kerana tidak ada kemudahan yang disediakan untuk pelancong. Dengan itu aktiviti pelancongan pada tahap ini tidak mewujudkan apa-apa kesan negatif terhadap persekitaran fizikal mahupun sosial. Pada tahap penglibatan, penduduk tempatan biasanya akan melibatkan diri dengan menyediakan kemudahan asas untuk pelancong. Kemudahan asas yang disediakan biasanya pada peringkat kecil-kecilan sahaja. Pada tahap pembangunan pula akan terdapat perubahan yang ketara yang melibatkan penyediaan kemudahan moden yang lebih besar. Biasanya pelaburan modal yang besar akan datang dari luar. Pada tahap ini bukan hanya pelaburan yang datang dari luar, tetapi masyarakat luar juga terlibat. Pelbagai cara dilakukan pada tahap ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke destinasi yang disediakan. Langkah-langkah promosi dan pemasaran akan turut dilakukan. Pada tahap ini biasanya persekitaran fizikal akan dieksploitasi sebanyak mungkin untuk menampung kunjungan lebih ramai pelancong. Apabila persekitaran fizikal tidak lagi mampu untuk dieksploitasi untuk pembangunan seterusnya destinasi tersebut dianggap sudah mencapai tahap tepu. Pada peringkat ini bilangan pelancong telah melebihi daya tampung fizikal dan psikologi. Keadaan seperti ini akan menyebabkan daya tarikan destinasi berkenaan akan mula merosot dan mengakibatkan pelancong mencari destinasi alternatif (Sulong Mohamad 2000). Sekiranya perkara ini berlaku destinasi lama bukan hanya mengalami pengurangan pengunjung, tetapi juga akan mengakibatkan kemerosotan kualiti persekitaran fizikalnya. Butler (1980), mengatakan bahawa destinasi lama akan hanya dikunjungi semula apabila ia mampu memberikan saingan kepada destinasi baru.
Sektor pelancongan negara Malaysia kini dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaik taraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara. (Azizan Marzuki, 2010).
Teras keseluruhan dasar dalam sektor pelancongan ialah untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang mampan bagi merealisasikan potensi pekerjaan yang banyak dan kesan penjanaan pendapatan di tahap negara, negeri dan kawasan tempatan. Satu pendekatan holistik dan bersepadu yang memberi pengaruh keatas inovasi dan daya tenaga sektor swasta, layanan baik, sopan-santun dan kesedaran sivik orang awam dan juga sokongan dari Kerajaan adalah amat perlu untuk menaikkan industri pelancongan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.
Menurut petikan dari MStar (2012), Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong asing sepanjang tahun 2011, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada jumlah itu, negara juga turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada 2011 berbanding RM56.5 bilion pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012, Malaysia mencatat rekod peningkatan kedatangan pelancong sebanyak +1.2% dengan jumlah sebanyak 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.
Purata kedatangan pelancong ke Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan demi peningkatan walaupun terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di Malaysia seperti wabak penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa yang terkini yang menimpa Malaysia adalah berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 serta kemalangan yang menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia. Hal ini dijangkakan purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi sebaliknya. Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia memberi kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia turut bersedih namun industri pelancongan kita masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion. (Berita Harian Online, 2015).
 Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia. Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

No comments:

Post a Comment