Wednesday, 7 September 2016

Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan

Lawatan ulangan adalah suatu fenomena yang penting dalam bidang pelancongan, Ia bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan ekonomi sesebuah negara malah ia juga digunakan untuk mengenal pasti ciri tarikan yang mendorong seseorang pelancong unuk berkunjung ke sesuatu tempat (Darnell & Johnson, 2011). Persaingan yan pesat kesan daripada proses globalisasi dan permintaan yang tinggi daripada kalangan pelancong telah mendorong kepada pembangunan pelancongan di sesebuah negara.Untuk kekal bersaing, sesebuah negara haruslah mempunyai destinasi pelancongan yang unik dan tersendiri agar dapat menarik kedatangan pelancong baru di samping mengekalkan bilangan pelancong yang sedia ada (Alegre & Cladera, 2006; Ravald &Gronross, 1996; Reicheld, 1996). 
Walaupun penyelidikan dalam sektor pelancongan telah banyak dilakukan, namun kajian tentang kepentingan lawatan ulangan ke destinasi pelancongan yang sama masih lagi kurang ( Oppermann 1999). Di peringkat antarabangsa, kebanyakkan Negara mempraktikkan amalan menyimpan rekod data ketibaan pengunjung ke Negara mereka samaada melalui lapangan kapal terbang ataupun pelabuhan. Walaupun data statistik ketibaan pelancong yang diperoleh ini boleh digunakan untuk memajukan lagi sektor pelancongan namun dat ini tidak dapat digunakan untuk mengenal pasti siapakah pelancong lawatan ulangan yang menuju ke sesuatu destinasi.
Kos untuk menarik kedatangan pelancong baru ke sesuatu kawasan adalah lima kali ganda lebih mahal berbanding dengan kos untuk mengekalkan pelancong yang sedia ada (Reid & Reid, 1993). Oleh itu wajar bagi kerajaan Malaysia untuk memberi perhatian yang serius terhadap pelancong ulangan antarabangsa. Kunjugan ulangan para pelancong antarabangsa ke Malaysia diharapkan dapat meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini dan sekaligus meningkatkan pendapatan Negara melalui kadar pertukaran mata wang asing.
Selain itu, kita juga harus memelihara dan memulihara lokasi pelancongan yang mempunyai nilai sejarah agar ia dapat menjadi faktor penentu lawatan pelancong ke destinasi berkenaan.Tambahan lagi untuk meningkatkan jumlah kunjungan pelancongan antarabangsa ke Malaysia, kerajaan haruslah menyediakan prasarana dan infrastruktur yang mencukupi agar dapat menampung keperluan pelancong. Kerajaan haruslah memastikan sektor penginapan seperti hotel dan chalet menawarkan perkhidmatan yang baik dan selesa. Selain itu, kemudahan pengangkutan dikawasan pelancongan haruslah berada dalam keadaan yang baik agar ia dapat menghubungkan pelancong ke mana-mana destinasi pelancongan yang mereka ingin kunjungi. Kerajaan juga haruslah memastikan kemudahan awam seperti medan selera dan tandas awam sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan diselenggara dengan baik. Pelancong yang mempunyai imej dan pengalaman yang baik di sesuatu tempat akan mempunyai potensi untuk membuat kunjungan semula ke kawasan tersebut. Selain itu, rangka promosi yang berkesan haruslah dijalankan agar dapat menarik kedatangan pelancong ke Malaysia. Melalui laman web pula, segala maklumat tentang destinasi pelancongan yang menarik dapat diperolehi dengan mudah melalui hujung jari.
 
            Agensi penerbangan haruslah menawarkan pakej istimewa atau tambang murah untuk pelancong antarabangsa yang ingin bercuti di Malaysia. Penganjuran kempen oleh Kementerian Pelancongan Malaysia juga dikatakan dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini. Penganjuran kempen ini dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelancongan dengan membuat lawatan rasmi ke luar negara bagi mempromosikan kebudayaan dan cara hidup masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya, lawatan rasmi Yang Berhormat Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen ke Shanghai sempena dengan Ekspo Dunia 2010. Keadaan ini akan menarik minat pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia dan merasai sendiri pengalaman dan keunikan yang terdapat di negara ini. Selain itu, kempen ‘Malaysia Truly Asia’ juga dapat menggalakkan pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke Malaysia. Tambahan lagi kerajaan hendaklah memastikan kualiti servis atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong adalah terjamin mutunya. Kerajaan juga haruslah memastikan agensi pelancongan melatih para pekerja yang terlibat dengan pelbagai perkhidmatan pelancongan seperti perhotelan, agensi pemandu pelancong, pengangkutan dan lain-lain. Sebagai contoh, agensi pelancongan haruslah melatih dan mengupah pemandu pelancong yang berpengalaman serta fasih bertutur dalam pelbagai bahasa, Ini untuk memudahkan pelancong dalam mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara yang menarik minat mereka untuk mengetahuinya secara lebih mendalam.
 
Selain itu, rakyat Malaysia haruslah bersikap ramah dan memberi layanan yang baik kepada pelancong. Pelancong yang dilayan dengan ramah akan merasakan kedatangan mereka ke tempat tersebut dihargai dan dialu-alukan oleh penduduk di kawasan berkenaan. Keadaan ini secara tidak langsung akan mendorong mereka untuk membuat kunjungan kembali ke destinasi tersebut setelah mengimbas kembali saat-saat mereka dilayan dengan penuh mesra oleh penduduk tempatan.

No comments:

Post a Comment