Sumbangan sektor industri
pelancongan dari segi penjanaan hasil, amat menggalakkan. Data yang dikeluarkan
oleh “Tourism Malaysia”, pada tahun 2004, mencatatkan hasil yang dijana dari
sektor ini adalah sebanyak RM29.7 bilion dari sejumlah 15.7 juta pelancong yang
melancong ke Malaysia. Hasil yang diperolehi dari industri ini semakin
meningkat dari tahun ke tahun dan yang terakhir pada tahun 2013, menjadi RM65.4
bilion dengan jumlah pelancong seramai 25.7 juta orang. Peningkatan hasil dan
jumlah pelancong sebanyak RM35.7 bilion dan 10 juta pelancong masing-masing,
dalam tempoh 10 tahun ini amat menggalakkan. Peningkatan yang ketara telah
menjadikan sektor ini semakin penting dan berdaya maju didalam menjana
pendapatan Negara.
Selepas beberapa insiden yang
berlaku berkaitan dengan pencerobohan di Lahad Datu dan pesawat MAS, maka
cabaran terkini industri ini menjadi semakin hebat. Industri ini diuji dengan
keadaan yang paling sukar iaitu mengembalikan kepercayaan pelancong asing serta
menanamkan keyakinan pelancong asing bahawa Malaysia adalah negara yang selamat
untuk dikunjungi. Sebelum ini cabaran industri pelancongan Malaysia adalah
menghadapi persaingan dengan negara-negara ASEAN yang memiliki produk
pelancongan yang hampir sama dengan Malaysia. Cabaran lain yang dihadapi adalah
untuk memperkenalkan Malaysia, sebagai sebuah negara yang unik dengan memiliki
kepelbagaian etnik.
Walaupun industri ini berdepan
dengan pelbagai cabaran yang dilihat telah mengugat jumlah kedatangan pelancong
dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014, namun usaha keras yang dimainkan
oleh Kementerian Pelancongan terutamanya melalui Tourism Malaysia, telah
meningkatkan keyakinan pelancong dari lain-lain negara selain Cina, untuk terus
memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
Ini terbukti apabila jumlah pelancong dari
negara lain seperti Singapura, Indonesia, Korea dan pelancong-pelancong dari
Barat dan Asia Barat dilihat meningkat walaupun selepas insiden kemalangan
MH370 dan MH17. Data terkini yang dikeluarkan oleh “Tourism Malaysia”, sehingga
Disember 2014, mencatatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia telah
meningkat sebanyak 6.7 peratus menjadi seramai 27.4 juta pelancong. Data ini
dilihat berjaya, menghampiri sasaran Laporan Ekonomi 2014/2015 yang
menjangkakan Malaysia akan menarik seramai 28 juta pelancong pada tahun 2014
dan menjana hasil sebanyak RM76 bilion.
Setiap individu juga mampu meyokong
usaha kerajaan ini dengan menyediakan persekitaran yang aman, sama ada dari
segi fizikal mahu pun tingkah laku. Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA)
percaya industri pelancongan hanya akan berkembang lebih pesat jika alam semula
jadi dan kebudayaan dikekalkan dalam bentuk sebenarnya. Keindahan alam
semulajadi wajib dikekalkan kerana tanpanya, sukar untuk industri pelancongan
bergerak maju. Hal ini kerana antara faktor utama yang memotivasikan pelancong
untuk melancong adalah keindahan alam semuladi yang dimiliki oleh destinasi
pelancongan. Secara keseluruhannya sektor pelancongan telah menyumbangkan
pelbagai faedah untuk memajukan Malaysia. Setelah kerajaan mengambil langkah
untuk memajukan sektor ini didapati sumbangannya kepada pendapatan negara
meningkat dari tahun ke tahun. Oleh itu adalah amat penting sektor ini
digiatkan lagi usaha untuk dimajukan sehingga dikenali dimata dunia supaya
pelancong antarbangsa dari pelbagai negara di dunia tertarik untuk melancong ke
Malaysia.
No comments:
Post a Comment