Perspektif tentang sektor pelancongan di Malaysia telah menjangkau segmen
di luar tarikan keindahan alam semula jadi. Strategi kepelbagaian segmen
tarikan pelancongan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menawarkan
produk pelancongan yang lebih berdaya saing. Sumbangan sektor pelancongan
terhadap pendapatan negara akan terus meningkat. Kedudukan ekonomi, politik,
sosial dan keselamatan yang baik menjamin bahawa negara ini akan menjadi
pilihan utama pelancong asing. Kedatangan hampir 30 juta pelancong asing saban
tahun membuktikan
bahawa Malaysia memiliki masa depan yang sangat cemerlang dalam sektor
pelancongan. Kini terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan
dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua
pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu
kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak
kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.
Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini
akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan
tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang
terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang
terkenal di dunia.
Thursday, 8 September 2016
Wednesday, 7 September 2016
Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan
Lawatan ulangan adalah suatu
fenomena yang penting dalam bidang pelancongan, Ia bukan sahaja menyumbang
kepada pendapatan ekonomi sesebuah negara malah ia juga digunakan untuk
mengenal pasti ciri tarikan yang mendorong seseorang pelancong unuk berkunjung
ke sesuatu tempat (Darnell & Johnson, 2011). Persaingan yan pesat kesan
daripada proses globalisasi dan permintaan yang tinggi daripada
kalangan pelancong telah mendorong kepada pembangunan pelancongan di sesebuah
negara.Untuk kekal bersaing, sesebuah negara haruslah mempunyai destinasi
pelancongan yang unik dan tersendiri agar dapat menarik kedatangan pelancong
baru di samping mengekalkan bilangan pelancong yang sedia ada
(Alegre & Cladera, 2006; Ravald &Gronross, 1996; Reicheld,
1996).
Walaupun penyelidikan dalam sektor pelancongan
telah banyak dilakukan, namun kajian tentang kepentingan lawatan ulangan ke
destinasi pelancongan yang sama masih lagi kurang ( Oppermann 1999). Di
peringkat antarabangsa, kebanyakkan Negara mempraktikkan amalan menyimpan rekod
data ketibaan pengunjung ke Negara mereka samaada melalui lapangan kapal
terbang ataupun pelabuhan. Walaupun data statistik ketibaan pelancong yang
diperoleh ini boleh digunakan untuk memajukan lagi sektor pelancongan namun dat
ini tidak dapat digunakan untuk mengenal pasti siapakah pelancong lawatan
ulangan yang menuju ke sesuatu destinasi.
Kos untuk menarik kedatangan
pelancong baru ke sesuatu kawasan adalah lima kali ganda lebih mahal berbanding
dengan kos untuk mengekalkan pelancong yang sedia ada (Reid & Reid,
1993). Oleh itu wajar bagi kerajaan Malaysia untuk memberi perhatian
yang serius terhadap pelancong ulangan antarabangsa. Kunjugan ulangan para
pelancong antarabangsa ke Malaysia diharapkan dapat meningkatkan lagi jumlah
kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini dan sekaligus meningkatkan pendapatan
Negara melalui kadar pertukaran mata wang asing.
Selain itu, kita
juga harus memelihara dan memulihara lokasi pelancongan yang mempunyai nilai
sejarah agar ia dapat menjadi faktor penentu lawatan pelancong ke destinasi
berkenaan.Tambahan lagi untuk meningkatkan jumlah kunjungan pelancongan
antarabangsa ke Malaysia, kerajaan haruslah menyediakan prasarana dan
infrastruktur yang mencukupi agar dapat menampung keperluan pelancong. Kerajaan
haruslah memastikan sektor penginapan seperti hotel dan chalet menawarkan
perkhidmatan yang baik dan selesa. Selain itu, kemudahan pengangkutan dikawasan
pelancongan haruslah berada dalam keadaan yang baik agar ia dapat menghubungkan
pelancong ke mana-mana destinasi pelancongan yang mereka ingin kunjungi.
Kerajaan juga haruslah memastikan kemudahan awam seperti medan selera dan
tandas awam sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan
diselenggara dengan baik. Pelancong yang mempunyai imej dan pengalaman yang
baik di sesuatu tempat akan mempunyai potensi untuk membuat kunjungan
semula ke kawasan tersebut. Selain itu, rangka promosi yang berkesan
haruslah dijalankan agar dapat menarik kedatangan pelancong ke Malaysia.
Melalui laman web pula, segala maklumat tentang destinasi pelancongan yang
menarik dapat diperolehi dengan mudah melalui hujung jari.
Agensi penerbangan haruslah menawarkan
pakej istimewa atau tambang murah untuk pelancong antarabangsa yang
ingin bercuti di Malaysia. Penganjuran kempen oleh Kementerian Pelancongan
Malaysia juga dikatakan dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini.
Penganjuran kempen ini dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelancongan dengan
membuat lawatan rasmi ke luar negara bagi mempromosikan kebudayaan dan cara
hidup masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya, lawatan
rasmi Yang Berhormat Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen ke Shanghai sempena
dengan Ekspo Dunia 2010. Keadaan ini akan menarik minat pelancong antarabangsa
berkunjung ke Malaysia dan merasai sendiri pengalaman dan keunikan yang
terdapat di negara ini. Selain itu, kempen ‘Malaysia Truly Asia’ juga
dapat menggalakkan pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke Malaysia.
Tambahan lagi kerajaan hendaklah memastikan kualiti servis atau perkhidmatan
yang ditawarkan kepada pelancong adalah terjamin mutunya. Kerajaan juga
haruslah memastikan agensi pelancongan melatih para pekerja yang terlibat
dengan pelbagai perkhidmatan pelancongan seperti perhotelan, agensi pemandu
pelancong, pengangkutan dan lain-lain. Sebagai contoh, agensi pelancongan
haruslah melatih dan mengupah pemandu pelancong yang berpengalaman serta fasih
bertutur dalam pelbagai bahasa, Ini untuk memudahkan pelancong dalam
mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara yang menarik minat mereka untuk
mengetahuinya secara lebih mendalam.
Selain itu, rakyat Malaysia haruslah bersikap ramah dan memberi layanan
yang baik kepada pelancong. Pelancong yang dilayan dengan ramah akan
merasakan kedatangan mereka ke tempat tersebut dihargai dan dialu-alukan oleh
penduduk di kawasan berkenaan. Keadaan ini secara tidak langsung akan mendorong
mereka untuk membuat kunjungan
kembali ke destinasi tersebut setelah mengimbas kembali saat-saat mereka
dilayan dengan penuh mesra oleh penduduk tempatan.
Tuesday, 6 September 2016
Sistem Sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta yang ditawarkan untuk perkembangan industri pelancongan
Semua pihak terutamanya pihak kerajaan dan swasta haruslah saling
bekerjasama dalam menggalakkan kedatangan pelancong ke Malaysia.
Pihak kerajaan dan swasta perlu bekerjasama dalam proses membangunkan kawasan
pelancongan dengan memaju dan menaik taraf lokasi pelancongan yang sedia ada. Pihak
kerajaan telah menyediakan pelbagai acara khas dan perayaan selama setahun serta
kempen yang berterusan dan pakej pelancongan yang menarik dimana telah berjaya
menambahkan keyakinan para pelancong dari pelbagai negara. Terbaru Malaysia
telah mengungguli senarai Indeks Pelancongan Muslim Global 2015
Mastercard-Crescent Rating (GMTI). Indeks ini menyaksikan Malaysia telah
menyandang tempat pertama dalam senarai Pelancongan Muslim Global bagi
destinasi di Negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa
industri pelancongan Malaysia masih berdaya saing. Kempen-kempen yang
dijalankan oleh Tourism Malaysia untuk mengembalikan kepercayaan pelancong
Cina, walaupun masih belum membuahkan hasil yang memberangsangkan namun, ianya
sedikit sebanyak telah mengorak langkah kearah masa hadapan industri ini yang
lebih positif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan
mencadangkan tiga bentuk insentif kepada Kabinet bagi menggalakan syarikat dan
agensi pelancongan membawa lebih banyak pelancong luar ke negara ini. Beliau
berkata cadangan insentif pertama ialah mana-mana pegawai syarikat yang membawa
pelancong dari luar negara diberikan elaun khas apabila mengadakan program
promosi bersama Tourism Malaysia di luar negara.Insentif kedua pula ialah
pengurangan cukai korporat kepada syarikat dan agensi pelancongan yang dapat
menarik kedatangan pelancong asing, manakala Insentif ketiga ialah peruntukan
khas untuk syarikat dan agensi pelancongan menampung kos bahan cetak dan pengiklanan
untuk tujuan promosi, katanya semasa merasmikan majlis penutupan Pesta
Pelancongan 2016 anjuran Persatuan Pelancong Dalam Negeri Malaysia (MITA) din
sini, pada Ahad. Katanya, beliau sendiri akan membentangkan cadangan pemberian
insentif itu kepada Kabinet dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak memberikan kelulusan. Terdahulu Ahmad Zahid menjelaskan, pelancongan
adalah sektor penting dalam menyumbang kepada pendapatan negara serta merupakan
kaedah segera. Dalam memulihkan ekonomi Negara.
Menyedari hakikat ini, katanya kerajaan sentiasa mencari jalan untuk
memudahkan kedatangan pelancong termasuk pengecualian visa untuk pelancong
China seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam pengubahsuaian Bajet 2016
yang diumumkan baru-baru ini. Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri,
berkata beliau akan ke negara 'Tembok Besar' esok untuk menyatakan kepada
pemimpin negara itu mengenai pendirian terbaru Malaysia itu. Katanya, dengan
langkah ini kerajaan menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong China dengan
perbelanjaan secara purata RM3,345 seorang di mana negara dijangka menjana
pendapatan sebanyak RM22.11 bilion setiap tahun.
Monday, 5 September 2016
Halangan / Cabaran Industri Pelancongan
Sumbangan sektor industri
pelancongan dari segi penjanaan hasil, amat menggalakkan. Data yang dikeluarkan
oleh “Tourism Malaysia”, pada tahun 2004, mencatatkan hasil yang dijana dari
sektor ini adalah sebanyak RM29.7 bilion dari sejumlah 15.7 juta pelancong yang
melancong ke Malaysia. Hasil yang diperolehi dari industri ini semakin
meningkat dari tahun ke tahun dan yang terakhir pada tahun 2013, menjadi RM65.4
bilion dengan jumlah pelancong seramai 25.7 juta orang. Peningkatan hasil dan
jumlah pelancong sebanyak RM35.7 bilion dan 10 juta pelancong masing-masing,
dalam tempoh 10 tahun ini amat menggalakkan. Peningkatan yang ketara telah
menjadikan sektor ini semakin penting dan berdaya maju didalam menjana
pendapatan Negara.
Selepas beberapa insiden yang
berlaku berkaitan dengan pencerobohan di Lahad Datu dan pesawat MAS, maka
cabaran terkini industri ini menjadi semakin hebat. Industri ini diuji dengan
keadaan yang paling sukar iaitu mengembalikan kepercayaan pelancong asing serta
menanamkan keyakinan pelancong asing bahawa Malaysia adalah negara yang selamat
untuk dikunjungi. Sebelum ini cabaran industri pelancongan Malaysia adalah
menghadapi persaingan dengan negara-negara ASEAN yang memiliki produk
pelancongan yang hampir sama dengan Malaysia. Cabaran lain yang dihadapi adalah
untuk memperkenalkan Malaysia, sebagai sebuah negara yang unik dengan memiliki
kepelbagaian etnik.
Walaupun industri ini berdepan
dengan pelbagai cabaran yang dilihat telah mengugat jumlah kedatangan pelancong
dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014, namun usaha keras yang dimainkan
oleh Kementerian Pelancongan terutamanya melalui Tourism Malaysia, telah
meningkatkan keyakinan pelancong dari lain-lain negara selain Cina, untuk terus
memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
Ini terbukti apabila jumlah pelancong dari
negara lain seperti Singapura, Indonesia, Korea dan pelancong-pelancong dari
Barat dan Asia Barat dilihat meningkat walaupun selepas insiden kemalangan
MH370 dan MH17. Data terkini yang dikeluarkan oleh “Tourism Malaysia”, sehingga
Disember 2014, mencatatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia telah
meningkat sebanyak 6.7 peratus menjadi seramai 27.4 juta pelancong. Data ini
dilihat berjaya, menghampiri sasaran Laporan Ekonomi 2014/2015 yang
menjangkakan Malaysia akan menarik seramai 28 juta pelancong pada tahun 2014
dan menjana hasil sebanyak RM76 bilion.
Setiap individu juga mampu meyokong
usaha kerajaan ini dengan menyediakan persekitaran yang aman, sama ada dari
segi fizikal mahu pun tingkah laku. Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA)
percaya industri pelancongan hanya akan berkembang lebih pesat jika alam semula
jadi dan kebudayaan dikekalkan dalam bentuk sebenarnya. Keindahan alam
semulajadi wajib dikekalkan kerana tanpanya, sukar untuk industri pelancongan
bergerak maju. Hal ini kerana antara faktor utama yang memotivasikan pelancong
untuk melancong adalah keindahan alam semuladi yang dimiliki oleh destinasi
pelancongan. Secara keseluruhannya sektor pelancongan telah menyumbangkan
pelbagai faedah untuk memajukan Malaysia. Setelah kerajaan mengambil langkah
untuk memajukan sektor ini didapati sumbangannya kepada pendapatan negara
meningkat dari tahun ke tahun. Oleh itu adalah amat penting sektor ini
digiatkan lagi usaha untuk dimajukan sehingga dikenali dimata dunia supaya
pelancong antarbangsa dari pelbagai negara di dunia tertarik untuk melancong ke
Malaysia.
Sunday, 4 September 2016
Rujukan Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara
Sektor Pelancongan merupakan salah
satu penyumbang utama kepada pendapatan dan pembangunan ekonomi negara. Menurut
(Cheater, 1995) industri pelancongan merupakan industri yang paling pantas
berkembang di dunia serta mempengaruhi pelbagai aspek di dunia meliputi
sosio-politik, kewangan dan juga ekologi. Laporan United Nation World Tourism
Organization (UNWTO) menyatakan pada tahun 2011, industri ini telah menerima
sejumlah 983 juta ketibaan pelancong dan menyumbang sejumlah USD1,030 billion
kepada pendapatan dunia. Kepentngan jumlah kedatangan dan pendapatan yang
tinggi ini kebanyakan negara termasuk Malaysia berusaha meningkatkan ketibaan
dan pendapatan pelancongan masing-masing melalui pembangunan produk-produk
pelancongan yang dimiliki. Tahun melawat Malaysia yang pertama telah
dilancarkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1990. Setelah itu, jumlah
pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Pelancong merupakan tunjang utama dan pihak berkepentingan dalam memastikan
sektor pelancongan dapat digerakkan dan dimajukan dengan lebih pesat. Oleh itu,
tahun melawat malaysia yang kedua dan ketiga telah dilaksanakan pada tahun 1994
dan 2007. Manakala tahun 2014 pula menjadi tahun melawat Malaysia yang keempat
melalui kempen Malaysia Truly Asia.
Sememangnya sektor
pelancongan merupakan sektor yang semakin giat berkembang pada masa kini.
Banyak negara telah menfokus kepada sektor pelancongan supaya dapat dimajukan
dan dapat mengembangkan ekonomi negara. Hal ini kerana perbelanjaan pelancong
asing terutamanya menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara. Perkara ini
dipengaruhi oleh faktor kadar pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi.
Semakin ramai ketibaan pelancong kesesuatu destinasi semakin banyak hasil
pelancongan diperoleh. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam usaha memajukan
sektor pelancongan negara. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan
mahupun pihak swasta utuk memajukan sektor ini. Secara umumnya ketibaan
pelancong ke Malaysia meningkat dari tahun ke tahun.
Sebagai sebuah industri perkhidmatan,
pelancongan merupakan penyumbang peluang pekerjaan yang penting bagi sesebuah
negara sedang membangun terutama di negara yang mempunyai lebihan tenaga kerja.
Di kawasan-kawasan pembangunan pelancongan, peluang pekerjaan dapat diwujudkan
untuk penduduk tempatan yang dapat membantu menambah pendapatan dan seterusnya
mempertingkatkan taraf hidup mereka. lndustri pelancongan mirip kepada intensif
buruh dan oleh yang demikian banyak peluang pekerjaan mahir dan tidak mahir
dapat diwujudkan. Peluang pekerjaan juga tidak terhad kepada sektor perhotelan,
sektor perkhidmatan sokongan seperti restoran, pemandu pelancong, pengangkutan,
agensi pelancongan, industri kraftangan, dan aktiviti-aktiviti sampingan lain
telah menawarkan peluang pekerjaan.
Pelabur asing juga merupakan salah
satu kepentingan dan sumbangan industri pelancongan. Kegiatan pelancongan yang
aktif akan memudahkan kerajaan dalam menarik minat pelabur asing untuk melabur
di negara ini. Disamping menarik pelabur untuk melabur dalam bidang
pelancongan, industri ini juga dapat menarik pelabur untuk melabur dalam
bidang-bidang lain seperti pengangkutan, pembuatan makanan, pembinaan dan
sebagainya kerana ianya saling berkait rapat. Melalui pelaburan tersebut, ia
dapat dimanipulasi oleh pihak kerajaan untuk mengelakkan pembaziran negara demi
mengindahkan kawasan yang menjadi tempat pelancongan yang semestinya akan
menelan kos yang sangat tinggi. Oleh itu, wang yang diperuntukkan oleh pihak
kerajaan untuk bidang pelancongan ini dapatlah digunakan untuk membantu
kehidupan masyarakat kita seperti membina rumah kos rendah supaya ia dapat
digunakan oleh rakyat yang tidak mempunyai rumah persendirian. Ia seterusnya
dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara kita.
Kehadiran pelancong dari dalam dan
luar negara juga turut membuka pintu rezeki penduduk desa yang menjalankan
industri kecil-kecilan seperti industri kraftangan. Pelancong yang datang
berkunjung menjadikan kraftangan sebagai cenderamata sebelum pulang dan dapat
memajukan industri kecilan ini.
Saturday, 3 September 2016
Tahap Pembangunan Industri Pelancongan
Menurut Butler (1980), pembangunan
sesuatu destinasi pelancongan adalah melalui suatu proses evolusi melainkan
destinasi yang dirancang. Umumnya, pembangunan sesuatu destinasi pelancongan
melalui empat tahap iaitu tahap penerokaan, penglibatan, pembangunan, dan tepu.
Pada tahap penerokaan alam sekitar yang cantik akan menarik sebilangan kecil
pelancong yang mengatur sendiri lawatan mereka. Kegiatan mereka tidak mengikut
mana-mana pola yang wujud kerana tidak ada kemudahan yang disediakan untuk
pelancong. Dengan itu aktiviti pelancongan pada tahap ini tidak mewujudkan
apa-apa kesan negatif terhadap persekitaran fizikal mahupun sosial. Pada tahap
penglibatan, penduduk tempatan biasanya akan melibatkan diri dengan menyediakan
kemudahan asas untuk pelancong. Kemudahan asas yang disediakan biasanya pada
peringkat kecil-kecilan sahaja. Pada tahap pembangunan pula akan terdapat
perubahan yang ketara yang melibatkan penyediaan kemudahan moden yang lebih
besar. Biasanya pelaburan modal yang besar akan datang dari luar. Pada tahap
ini bukan hanya pelaburan yang datang dari luar, tetapi masyarakat luar juga
terlibat. Pelbagai cara dilakukan pada tahap ini untuk menarik lebih ramai
pelancong ke destinasi yang disediakan. Langkah-langkah promosi dan pemasaran
akan turut dilakukan. Pada tahap ini biasanya persekitaran fizikal akan
dieksploitasi sebanyak mungkin untuk menampung kunjungan lebih ramai pelancong.
Apabila persekitaran fizikal tidak lagi mampu untuk dieksploitasi untuk
pembangunan seterusnya destinasi tersebut dianggap sudah mencapai tahap tepu.
Pada peringkat ini bilangan pelancong telah melebihi daya tampung fizikal dan
psikologi. Keadaan seperti ini akan menyebabkan daya tarikan destinasi
berkenaan akan mula merosot dan mengakibatkan pelancong mencari destinasi
alternatif (Sulong Mohamad 2000). Sekiranya perkara ini berlaku destinasi lama
bukan hanya mengalami pengurangan pengunjung, tetapi juga akan mengakibatkan
kemerosotan kualiti persekitaran fizikalnya. Butler (1980), mengatakan bahawa
destinasi lama akan hanya dikunjungi semula apabila ia mampu memberikan saingan
kepada destinasi baru.
Sektor pelancongan negara Malaysia
kini dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana ketika ini negara
sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987,
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun
1990 kerajaan telah menaik taraf kementerian tersebut kepada Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia
telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara. (Azizan
Marzuki, 2010).
Teras keseluruhan dasar dalam
sektor pelancongan ialah untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang mampan
bagi merealisasikan potensi pekerjaan yang banyak dan kesan penjanaan
pendapatan di tahap negara, negeri dan kawasan tempatan. Satu pendekatan
holistik dan bersepadu yang memberi pengaruh keatas inovasi dan daya tenaga
sektor swasta, layanan baik, sopan-santun dan kesedaran sivik orang awam dan
juga sokongan dari Kerajaan adalah amat perlu untuk menaikkan industri
pelancongan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.
Menurut petikan dari MStar (2012),
Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong asing sepanjang tahun 2011,
mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada jumlah itu, negara juga turut
mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada 2011 berbanding RM56.5 bilion
pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012, Malaysia mencatat rekod
peningkatan kedatangan pelancong sebanyak +1.2% dengan jumlah sebanyak
9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.
Purata kedatangan pelancong ke
Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan demi peningkatan walaupun
terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di Malaysia seperti wabak
penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa yang terkini yang menimpa Malaysia
adalah berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 serta kemalangan
yang menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia. Hal ini dijangkakan
purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi sebaliknya. Berdasarkan
kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia memberi
kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam
terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9
peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun
penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia turut bersedih namun industri
pelancongan kita masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan
berjumlah RM72 bilion. (Berita Harian Online, 2015).
Potensi industri pelancongan sebagai penjana
ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan
membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu
seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang,
kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong,
semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong
yang melawat Malaysia. Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata
bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan
yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara.
Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada
`cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah
melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik
melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu
rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.
Friday, 2 September 2016
Apa itu Industri Pelancongan.
Industri ialah satu segmen ekonomi yang
menghasilkan barangan. Perkataan "industri" berasal dari perkataan
Latin ‘’industrius’’ yang bererti tekun, rajin. Industri ialah
penghasilan barang atau perkhidmatan dan merupakan aktiviti ekonomi yang
memproses bahan mentah menjadi barang siap atau menyediakan perkhidmatan.
Dalam proses memajukan Negara, Ini
merupakan inisiatif bijak dari pihak kerajaan dimana ia telah memandang
penting kenyataan, “Pembangunan ekonomi di kebanyakan negara maju adalah
berasaskan kepada sektor perindustrian” Hal ini telah menjadikan sektor
perindustrian di Negara ini antara sektor terpenting dalam penyumbang kemajuan
Negara. Sektor perkhidmatan terdiri daripada pelbagai sub sektor yang
sebahagiannya boleh diperdagangkan termasuklah industri pelancongan.
Pelancongan merujuk kepada aktiviti
melawat, melancong atau mengembara ke sesuatu tempat lain yang melebihi lima
puluh batu dari tempat kediaman tidak lebih dari satu tahun untuk tujuan rekreasi atau
mengisi masa lapang. Menurut Pertubuhan Pelancong Sedunia,
iaitu salah satu badan PBB, pelancongan juga merujuk kepada aktiviti
perkhidmatan kepada pelancong.
Dari perspektif sejarah,
pelancongan bermula kira-kira 5000 tahun yang lalu selaras dengan perkembangan
pertanian intensif, kota, kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran.
Perjalanan ini lazimnya didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran
kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di
rantau Mediterranean dan Timur Tengah. Apabila empayar berkembang (terutamanya
dalam abad ke 2 tahun Masihi), orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya
yang lebar dan dibina dengan baik untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan
perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke
Euphrates di Timur Tengah. Rumah tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di
sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel di kebanyakan bandar. Rumah
tumpangan ini dikaitkan dengan piktograf yang menunjukkan status kemudahan dan
perkhidmatan (Inskeep, 1996).
Pelancongan
dapat menyumbangkan pendapatan negara. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz,
Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa pihak
kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 29 juta pelancong dengan
pendapatan RM89 billion pada tahun 2015 sempena penganjuran Tahun Festival
(MyFest 2015). Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran
wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara
memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak.
Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos
penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan
menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan
sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara.
Seterusnya, wang yang diperolehi oleh kerajaan dapat digunakan untuk
pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal
negara.
Thursday, 1 September 2016
Pengenalan
Pelancongan menjadi salah satu
kegiatan sosial dan ekonomi yang paling penting pada masa sekarang. Jumlah
pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat, Beberapa buah negara
di dunia kini sedang memajukan pelancongan untuk beberapa faedah tertentu. Hal
ini kerana industri pelancongan banyak membawa kepada penyumbangan hasil dan
pulangan yang lumayan kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara.
Sejumlah 24.6 juta orang telah berkunjung dan melancong ke Malaysia telah
dicatatkan dan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan bagi bulan Januari
hingga Disember 2015. Peningkatan pula telah ditunjukkan oleh pelancongan Asia
Barat pada tahun 2016 berbanding dengan tahun 2015. Meskipun keadaan ekonomi
serantau yang agak kurang memberangsangkan pada masa kini, peningkatan 44
peratus daripada 5.02 juta kepada 7.23 juta telah berlaku pada tempoh
enam bulan pertama bagi jumlah pelancong yang telah melawat dan berkunjung ke
Malaysia. Jumlah pelancong yang bertandang ini berdasarkan pada tempoh yang
sama tetapi pada tahun yang berlainan.
Pengiktirafan diberi secara
beransur-ansur terhadap pentingnya membangunkan pelancongan bersama-sama sektor
lain dengan cara yang bersepadu dengan mengekalkan sumber untuk kegunaan yang
berterusan, di samping membantu memelihara dan bukan merosakkan kawasan
semulajadi dan warisan sejarah.
Subscribe to:
Posts (Atom)